KUALA LUMPUR: Tiga pelajar sebuah sekolah menengah di Cheras yang ditahan kerana disyaki melakukan samun berkumpulan dan bersenjata terhadap warga asing di daerah itu, telah melakukan jenayah itu lebih daripada empat kali.

Berdasarkan video yang diterima Astro AWANI daripada sumber yang enggan dikenali, modus operandi yang dilakukan ketiga-tiga suspek adalah dengan memanjat bumbung rumah untuk memecah masuk kediaman warga asing.

"Mereka kemudiannya mengacukan pisau ke leher mangsa dan meminta wang sekiranya tidak mahu dicederakan.

"Salah seorang suspek juga turut merakam perbuatan mereka itu sambil memaparkan wajah mangsa dalam keadaan ketakutan dan memohon untuk dilepaskan," kata sumber berkenaan kepada Astro AWANI, pada Khamis.

Tiga pelajar rakam jenayah sendiri semasa samun berkumpulan


Pada Rabu, media melaporan, polis menahan dua pelajar tingkatan dua dan seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di Cheras kerana dipercayai melakukan samun berkumpulan dengan bersenjatakan pisau ke atas seorang warga asing di Taman Connaught, Cheras.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid, ketiga-tiga pelajar itu ditahan berasingan di sekitar Cheras.

Penahan itu, katanya dilakukan selepas polis menerima maklumat kira-kira pukul 2 pagi, pada Rabu.

"Berdasarkan siasatan, mangsa yang mengalami kerugian RM500 itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Menurut Ridzuan, ketiga-tiga pelajar itu ditahan reman lima hari bermula Rabu.

Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat dan jika bersenjata hendaklah dikenakan sebat selain hukuman yang boleh dikenakan di bawah seksyen lain jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berhampiran.